- AFP |
PELUMBA muda negara sedang meningkat naik, Mohd. Azizulhasni Awang mencipta kejutan dalam kem kontinjen berbasikal Malaysia apabila melepasi saingan sengit ke suku akhir acara pecut 200 meter di Velodrome Laoshan di sini, semalam.
Azizulhasni yang terlepas peluang terbaiknya dalam acara kegemarannya, keirin, kelmarin berjaya menempatkan dirinya dalam kedudukan tujuh daripada 20 pelumba dalam kelayakan, semalam.
Anak muda dari Terengganu ini bagaimanapun akan berdepan dengan lawannya, Chris Hoy yang juga juara Olimpik dan berganda dunia.
Azizulhasni pada mulanya tewas dalam pusingan pertama kepada juara bertahan, Ryan Bayley tetapi dia tidak berputus asa apabila memberikan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba Jepun, Tsubasa Kitatsuru dan Lukasz Kwiatkowski dalam repechages.
Anak muda itu kemudian mengetepikan Stefan Nimke dari Jerman dan Roberto Chiappa dari Itali dalam saingan sengit repechages kedua untuk menempatkan dirinya dalam kelompok suku akhir.
Bagaimanapun, pengurus pasukan berbasikal negara, Abu Samah Abd. Wahab berkata, beliau yakin apa sahaja boleh berlaku dalam saingan hari ini meskipun Azizulhasni berdepan seorang juara.
''Berada dalam kelompok tujuh dalam saingan awal kelayakan sudah dianggap terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam acara pecut 200m di Sukan Olimpik. Ini juga bermakna dia (Azizulhasni) adalah di kalangan tujuh pelumba terbaik dunia.
''Cuma saya harap dia dapat mengekalkan mentalnya pada perlumbaan esok (hari ini). Apa sahaja boleh berlaku. Dalam perlumbaan 200m pecut ini, bukan kekuatan yang menjadi sandaran tetapi taktik yang menjadi keutamaan," katanya, semalam ketika diminta mengulas peluang wakil tunggal pelumba Malaysia itu dalam acara pecut, hari ini.
Kontinjen berbasikal trek Malaysia setakat ini terlepas menyumbang pingat buat negara selepas kecundang dalam acara pecut berpasukan dan keirin yang pada awalnya disandarkan harapan untuk membuat kejutan.
Gagal dalam dua acara sebelum ini meletakkan seluruh harapan kini di bahu Azizulhasni yang diharapkan dapat melakukan kejutan seperti mana yang pernah dilakukannya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2008 di Nara, Jepun beberapa bulan lalu apabila meraih emas untuk negara.
Utusan
No comments:
Post a Comment