Wednesday, July 9, 2008

Pei Tty-Eei Hui sedia hadapi Olimpik


PEI TTY (depan) dan Eei Hui akan beraksi pada temasya Olimpik buat kali kedua.


BEREGU badminton wanita No. 1 negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada temasya Sukan Olimpik di Beijing bulan depan.

Meskipun undian belum dikeluarkan, namun satu-satunya wakil negara dalam acara beregu wanita itu menegaskan mereka akan cuba melakukan yang terbaik tanpa mengira lawan yang akan dihadapi nanti.

Menurut Pei Tty, sebagai beregu bukan pilihan, mereka pasti akan menerima undian yang lebih sukar tetapi ia tidak akan menjadi penghalang untuk beregu ranking ke-11 dunia itu mencapai impian meraih pingat di Beijing.

"Kami bukanlah beregu pilihan dan sudah tentu kami tidak mempunyai pilihan," kata Pei Tty kepada Kosmo! semalam.

"Kami akan terima apa sahaja keputusan kerana apa yang pasti, kami telah bersedia untuk menentang sesiapa sahaja.

"Pada ketika ini, persiapan berjalan lancar dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi di Beijing nanti. Tambahan pula, kami tidak mempunyai sebarang tekanan berbanding beregu China yang beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Saya harap, kami mampu meraih pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini."

Ini merupakan kali kedua Pei Tty-Eei Hui beraksi di pentas Olimpik selepas kali pertama beraksi di Athens empat tahun lepas.

Namun, pada temasya kali ini, beregu negara ini dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk membuat kejutan selepas gagal meraih sebarang pingat di Athens.

Selepas aksi di Athens, Pei Tty-Eei Hui berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2005 selain pingat emas Sukan Komanwel di Melbourne setahun kemudian.

Malah, beregu No. 1 negara ini juga berjaya mara ke pusingan separuh akhir Seluruh England tahun lepas serta mara ke perlawanan akhir Terbuka Thailand tahun ini.

Kejayaan tersebut sedikit sebanyak berjaya menaikkan semangat Pei Tty-Eei Hui walaupun mereka sedar, taraf Sukan Olimpik lebih tinggi berbanding kejohanan-kejohanan lain.

"Seperti yang saya katakan, kami tidak mempunyai sebarang tekanan malah kami sebenarnya lebih bersemangat untuk beraksi," tambah Pei Tty.

Dalam pada itu, undian bagi acara badminton pada Sukan Olimpik kini dipercepatkan daripada tarikh asal 4 Ogos kepada 26 Julai ini.

Skuad negara dijangka berlepas ke Beijing pada 4 Ogos kurang seminggu daripada jadual perlawanan yang bermula pada 9 hingga 17 Ogos.

KOSMO

No comments: