
STADIUM Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi kepada sisa-sisa harapan atlet elit Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini.
Beberapa atlet harapan KOAM termasuk pasangan 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian dan Mohd. Robani Hassan akan beraksi untuk mencari peluang terakhir pada Kejohanan Olahraga Pra-Olimpik Kebangsaan bermula hari ini.
Rayzam yang mempunyai catatan peribadi terbaik, 13.91 saat dan Robani dengan 13.88s akan turun pada aksi separuh akhir esok bagi memburu tempat ke akhir sekali gus melepasi had kelayakan kategori B iaitu 13.72s.
Begitupun, tumpuan juga terarah kepada dua jaguh 400m, Zaiful Zainal Abidin dan Mohd. Zafril Zuslaini yang masing-masing akan turun pada aksi separuh akhir hari ini.
Untuk rekod, Zaiful mempunyai catatan terbaik dengan 46.42s dan perlu melepasi had kelayakan yang ditetapkan bagi kategori B iaitu 45.95s.
"Kejohanan ini merupakan medan terakhir bagi atlet tempatan untuk cuba melayakkan diri ke Olimpik Beijing bagi menyertai Roslinda Samsu, Yuan Yufang dan Lee Hup Wei yang telah melayakkan diri," jelas Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim baru-baru ini.
"Jadi, memandangkan 23 Julai ini merupakan tarikh akhir bagi menghantar penyertaan, maka atlet tempatan seperti Rayzam, Robani dan Zaiful perlu memanfaatkan peluang yang ada."
Selain tiga atlet terbabit, beberapa lagi atlet lain turut diletakkan harapan untuk mencipta kejutan termasuklah Mohd. Noor Imran dan Amran Raj dalam acara 200m dan ratu 400m lari berpagar, Noraseela Khalid.
Sementara itu, menghangatkan lagi kejohanan dua hari ini adalah penyertaan beberapa atlet antarabangsa yang telah pun mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik.
Antaranya ialah atlet dari Botswana, India, Thailand, Taiwan, Singapura, Filipina, Brunei dan Laos.
KOSMO
No comments:
Post a Comment