
SINGAPURA, 3 Julai (Bernama) -- Hampir 40 peratus rakyat Malaysia yakin atlet negara ke Sukan Olimpik di Beijing bulan depan akan dapat meraih lebih banyak pingat berbanding temasya serupa sebelum ini, demikian menurut satu kaji selidik oleh Visa.
Keyakinan serupa juga dinyatakan oleh rakyat India, Hong Kong, Taiwan dan Singapura, kata Visa.
Kaji selidik itu dijalankan secara online dan dari rumah ke rumah di sembilan negara antara 17 Mac dan 9 April lepas, melibatkan responden berumur 18 tahun ke atas.
Menurut Visa, ia bertujuan mengukur minat orang ramai dalam acara sukan peringkat dunia dan juga bagi menilai kedudukan China sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Malaysia meraih pingat pertamanya dalam Sukan Olimpik iaitu di Barcelona pada 1992 menerusi badminton acara beregu lelaki, diikuti satu pingat perak dan satu pingat gangsa juga menerusi badminton beregu dan perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik Atlanta pada 1996.
Bagaimanapun ia gagal mengutip sebarang pingat dalam Sukan Olimpik yang lepas di Athens.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment