Tuesday, July 8, 2008

Basikal, memanah berpeluang

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) optimis acara memanah dan lumba basikal mempunyai peluang untuk meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik Beijing Ogos ini.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata, atlet kedua-dua acara tersebut memiliki peluang berbanding acara sukan lain yang dilihat agak sukar untuk bersaing dengan atlet berkelas dunia.

"Saya merasakan atlet daripada dua acara tersebut mampu membawa pulang pingat walaupun bakal berhadapan saingan sengit," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama MCA dengan Persatuan Kriket Australia Barat (WACA) di Kinrara semalam.

Tunku Imran berkata, dia menjangka sukan yang mempertandingkan acara individu lebih berpeluang untuk meraih pingat berbanding acara berpasukan. Menurutnya, atlet yang sentiasa bekerja keras dan bersungguh-sungguh mampu mencipta kejutan pada temasya berprestij itu kelak.

Katanya, seramai 33 atlet yang bertanding bukan hanya berusaha untuk memburu insentif RM1 juta untuk pingat emas tetapi tumpuan utama ialah untuk mengharumkan nama negara.

"Saya tidak fikir mereka hanya mengejar RM1 juta, Keutamaan mereka ialah negara," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan menawarkan insentif RM1 juta untuk atlet yang meraih pingat emas pada temasya Olimpik yang akan menjadi pendorong kepada mereka untuk beraksi lebih cemerlang.

Selain itu, atlet yang memenangi pingat perak akan menerima RM300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

No comments: